Wednesday, April 2, 2008

Filem Abu Jahal (Suku Pertama) Tahun 2008 Adalah 'Akhirat'

Kesimpulan dan Filem Akhirat

ULASAN DARI UST ZAHARUDDIN (www.zaharuddin.net)


FILEM AKHIRAT:

Bantahan dan boikot yang sama perlu kita lontarkan kepada penebrit filem "AKHIRAT" keluaran tempatan yang menghina nama ‘akhirat' dengan cerita bertunjangkan seks, zina, raba, aksi intim, AIDS dan lain-lain, cerita yang secara tidak langsung menghina sensitiviti Islam. Tidak wajar sama sekali mereka menggunakan nama "Akhirat" satu lafaz yang penuh makan tersirat malah lafaz yang disebut di dalam al-Quran. Biadap penerbit ini !!

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Sekiranya filem Akhirat adalah seorang manusia, maka manusia itu saya putuskan adalah Abu Jahal. Anugerah Abu Jahal yang jahil ini sesuai dijadikan satu anugerah ala-ala Oscar kepada filem ini, ataupun filem-filem lain yang 'mempersendakan' agama kelak. Mungkin ada satu badan dapat memberi anugerah Abu Jahal ini. Pun kita baru melepasi suku pertama tahun 2008. Justeru eloklah kita senarai pendekkan dulu Akhirat untuk anugerah Abu Jahal ini. Siapa tahu akan ada filem Abu Jahal lain yang lebih jahil dan jahanam dari filem ini. Nampak sangat pengamal filem kita sedang berlumba-lumba untuk membikin filem 'anak haram' yang paling jahil sesama mereka.

Filem dengan skrip oleh Ikhzal Azfarel Ideris ini telah diwarwarkan bertumpu kepada cerita berunsur keagamaan. Baca sahaja promosi filem ini sejak tahun lalu, mereka sendiri mengaku begitu. Merenung aspek dramaturgi, saya tidak tahu mana agamanya Akhirat, kerana filem ini membawa kesongsangan beragama; paling tidak pada lima perkara besar:

i. Menjadikan adegan zina sebagai sesuatu yang cool dan kasual. Hal ini terlihat apabila Noni (lakonan Nabila) dinasihati ayahnya supaya berhati-hati berteman dengan Ari (lakonan Adi Putra), penataan muzik gedik-suka digunakan untuk melatari. Tambah-tambah pula ada adegan Mira (Vanidah Imran) dengan sengaja memerangkap adiknya Noni untuk menggunakan baju tidurnya. Itu sebagai umpan kepada suaminya Amran yang gersang (dalam satu adegan Tony Eusoff terdesak merangkul Vanidah Imran dari belakang sambil menjerit: I want to make love with you) setelah tidak dapat menyetubuhi Mira sekian lama (kerana Mira HIV positif).

ii. Meskipun Noni digambarkan insaf di penghujung Akhirat setelah berzina dengan Ari sepuas hati, seraya minum arak dan berdansa di disko - keinsafan Noni hanyalah kerana 'saya telah salah berkawan' dan bukan kerana 'Allah melarang zina dan ia dosa besar'. Keinsafan Noni juga tidak didokong langsung adegan atau plot (sebab dan akibat) yang bertunjang agama.

iii. Ketabahan dan kesabaran Amran dan Mira tidak sedikit pun berbumbu agama. Mira misalnya dalam keadaan genting tegang lagi sengsara oleh tekanan menghidapi HIV positif tidak sedikit pun berpaling kepada Allah untuk mendapat ketenangan. Tidak ditunjukkan apa-apa petanda Mira mendekati Tuhan dalam tempoh itu. Mira hanya mendapat ketenangan apabila bertemu dengan pegawai di Malaysia Aids Council ala-ala kak Marina.

iv. Babak-babak yang dilakonkan oleh Tan Sri Jins Shamsuddin sebagai ayah Mira dan Noni menunjukkan dialog bebal menyalahkan Allah terhadap kesengsaraan yang mereka hadapi. Pengamal filem kita masih belum faham soal keadilan Ilahi (sebenarnya ulama yang tidak faham). Apabila ditimpa kecelakaan dalam hidup, mereka akan menyalahkan Tuhan dengan kata-kata 'ini takdir'. Nasihat-nasihat ayah kepada Mira dan Noni adalah 'nasihat-nasihat bertaraf jawapan kemusykilan agama kepada Dr Mashitah' (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri). Nasihat-nasihat itu tidak sedikit menjentik atau menggugah minda, dan membantu watak-watak itu kemudiannya insaf.

v. Adegan separa seks separa panas kunun dalam filem ini amat menjengkelkan dan memualkan. Adegan cium leher, peluk rangkul, belai membelai, tonyoh menghempap, gesel menggesel tidak dapat mencerminkan judul Akhirat yang ditatang.

Elok kita renung jalur sebab dan akibat yang amat lemah dalam filem ini. Sesuai dengan anugerah Abu Jahal yang diterimanya, filem ini adalah gabungan plot paling lemah pelajar-pelajar Minggu Penulis Remaja paling tidak berkualiti dari tahun 2002-2007.

Lebih lucu ada adegan Amran berpuisi untuk Mira; di sisi tasik buatan Putrajaya kunun-kunun romantis. Puisi bertaraf 'reject' untuk majalah E-Baca ini diucapkan demi membangkitkan dialog-dialog puitis tidak bertempat.

Memang hodoh. Filem Akhirat mengisahkan kehidupan seorang wanita, Mira, yang musnah setelah dirogol oleh seorang pengedar dan penagih dadah. Akibatnya Mira disahkan menghidap penyakit yang amat menggerunkan. Kesengsaraan Mira ini pada awalnya dirahsiakan dari pengetahuan suaminya, Amran, dan keluarga. Konflik tercetus apabila Amran sering ditolak oleh Mira saat Amran sedang berkobar-kobar ingin melanda isterinya. Dilema perasaan inilah yang mendorong Mira memperdaya Amran dengan Noni (adik iparnya). Amran yang tidak tahu (sebab dia lembab dan bodoh) dengan tindakan Mira ini, telah menuduh adik iparnya Noni cuba menggodanya, selain mencemarkan nama dan maruah keluarga. Dalam pada itu diselitkan kisah-kisah Noni yang liar dan sering bersetubuh haram dengan teman lelakinya, Ari.

Menurut produser S. Baldev Singh, Akhirat ditayangkan bersempena dengan musim Maulidur Rasul. Dan katanya lagi, "Sekarang ini kita lebih menitik beratkan konsep
Islam Hadhari maka lahirlah filem Akhirat".

Thats it! Itu jadi defining moment. Patutlah! Itu menjelaskan segala-galanya bukan? Sebuah filem Islam Hadhari, patutlah ada pegang-pegang mesra sambil genyeh-genyeh manja. Patutlah ada zina-zina kasual sambil dialog derhaka Tuhan.

Lebih menyedihkan filem Abu Jahal ini mendapat kerjasama daripada Kementerian Penerangan dan sokongan penuh daripada Majlis AIDS Malaysia. Tetapi dokongan dan kerjasama ini tidak membantu penggunaan fakta yang tepat berkenaan virus HIV dan AIDS. Dalam tempoh yang sangat singkat Mira tidak sepatutnya mendapat penyakit AIDS lagi. Virus HIV menjadi AIDS setelah satu tempoh yang agak panjang, kadang-kala sepanjang 12 tahun. Bahkan tanda-tanda AIDS seperti sarcoma kaposi (KS) tidak pun kelihatan pada Mira. Alahai, buatlah penyelidikan sedikit. Mak cik jual cencaluk macam mak cik Musalmah Lebar pun tahu gunakan internet.

Sedikit kuliah falsafah Islam untuk mereka yang bercita-cita menjadi pengamal filem dan tidak mahu tergelincir menjadi pengamal filem Abu Jahal:

Duduknya seni Islam haruslah begini. Ia satu gerakan ke bawah. Allah sebagai Pencipta, Nabi Muhammad yakni Nur Muhammad sebagai pusat logos, itu kita namakan kamal atau kesempurnaan. Ia turun kepada ahlul bait sebagai penerus kelangsungan Islam yang aktual iaitu kita namakan wilayah. Ini kerana ahlul bait bukan hanya ilmuan tetapi cendekiawan kerana terlibat dalam pembangunan masyarakat. Gerakan kreativiti karyawan seni harus menempuh laluan ini.

KEMUDIAN barulah sampai kepada ayan sabitah atau idea umum di mana dalam gestalt pemikiran Melayu; ia adalah manfaat dan faedah untuk masyarakat. Dalam erti kata lain kalau buat filem tidak ada faedah dan manfaat itu dengan sendirinya sudah menjadi Abu Jahal. Ayan sabitah atau idea umum itu tadi disampaikan dengan makna, dan penuh pengertian lalu turun kepada keindahan yang antaranya cultural literacy. Ini semua melibatkan karyawan. Dari situ ia turun lagi di mana ia akan membentuk genre yang dipilih karyawan atau kategori seni yang digulati pengamal seni. Tidak kiralah genre itu drama, action, animation atau apa pun. Ia kemudian turun lagi kepada khalayak yang akan menerimanya dengan akal kerana ada dorongan intelektual dalam karya, akan menerimanya dengan hati nurani kerana ada logos spiritual dan wilayah, lalu menerimanya dengan emosi kerana ada keindahan pada karya. Untuk memahami lebih lanjut persoalan ini sila baca Perempuan, di Wajah Langit Pagi dalam Milenia Muslim edisi Februari, Mac, April dan Mei 2008.

Kembali kepada filem Abu Jahal kita untuk suku pertama tahun 2008. Sungguh kasihan melihat Vanida Imran, pelakon wanita terbaik di Festival Filem Malaysia 2007 berlakon filem seperti ini. Lakonan Tony Eusoffe, Adi Putra, dan Tan Sri Jins Shamsuddin tidak langsung menambah apa-apa. Lakonan Nabila Huda pula sangat-sangat menjengkelkan. Penampilan cameo beberapa nama besar memualkan. Filem Akhirat juga disulami lagu-lagu 'jiwang melankolia tengah malam' yang dicipta oleh Azmi Hassan dan dinyanyikan oleh kumpulan penyanyi bersuara sengau. Antara lagu yang bakal mewarnai filem ini ialah Akhirat (lagu tema), Akhirat II, Kasih Selendang Biru dan I Love You Senorita. Pada adegan yang menampilkan lagu I Love You Senorita anda boleh menatap ketiak bercukur pelakon pembantu wanitanya, sambil melihat bakat yang dikembangkan oleh AF1 menari tergedik-edik seolah-olah ada cacing kerawit berpusu-pusu mahu keluar dari hujung usus besarnya. Sungguh 'abu jahal' gedik itu.

Dan alasan lain untuk memberi anugerah Abu Jahal ini kepada Akhirat meskipun penerbitnya bukan Islam, dan DOP pun dari Mumbai, ialah kerana filem ini diarahkan oleh seorang muslim. Bukan sekadar muslim biasa tetapi adalah pemimpin sebuah organisasi pengamal filem.

Dan kerana itu kita tidak dapat menerimanya. Dan kerana itu layaklah Akhirat mendapat pencalonan akhir Anugerah Filem Abu Jahal 2008.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Jangan kita pergi tonton wayang sebegini

Post a Comment