Tuesday, April 8, 2008

Awas Taktik jahat !! Perangkap span berinti paku

Antara taktik 'longkai'yang dikesan untuk pekena pengguna jalan raya - Perangkap span berinti paku

Oleh FARHANA TARMUDI
berita@kosmo.com.my / KOSMO / 03.03.2008

CONTOH span yang diselitkan dengan paku untuk mengenakan pemandu kenderaan. Gambar kecil, K. Balasupramaniam


KUALA LUMPUR - Span berisi paku dan besi tajam yang diubahsuai kini menjadi 'perangkap' sindiket perancang kemalangan dengan niat meraih keuntungan atau 'longkai' selain menuang minyak bagi memerangkap mangsa di jalan raya.

Taktik berkenaan antara dikesan melalui kajian yang dijalankan selama sembilan tahun oleh sekumpulan penyelidik dan aktivis keselamatan bebas di negara ini.

Jurucakapnya, K. Balasupramaniam berkata, 'longkai' berkenaan biasanya meletakkan 'perangkap' di kawasan yang jauh daripada pengawasan pihak berkuasa.

"Jika dilihat dengan mata kasar ia tidak berbahaya kerana kita hanya nampak span, tetapi kalau dilanggar, tayar boleh pancit dan berlaku kemalangan,'' kata beliau yang juga Pengerusi Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Malaysia kepada KOSMO! semalam.

Jelas Balasupramaniam, pengubahsuaian dilakukan bertujuan untuk mendapatkan impak yang besar selepas kemalangan berlaku dan akhirnya memerlukan bantuan daripada 'longkai' untuk dibawa ke bengkel yang didakwa bersubahat dengan mereka.

"Kadangkala pengguna tidak sedar, perbuatan seperti ini boleh membawa maut kepada pemandu terutamanya penunggang motosikal dan kereta yang dipandu laju.

"Apa yang lebih merisaukan, kebanyakan 'barang' tersebut diletakkan di kawasan berisiko kemalangan seperti di selekoh tajam dan di lorong kanan jalan,'' ujarnya.

Antara jalan yang popular dijadikan lokasi kemalangan ialah susur keluar lebuh raya termasuk di sekitar Puchong dan jalan persekutuan di sekitar Sungai Buloh dan Kuala Selangor.

Mereka juga katanya, melakukan perbuatan itu jauh dari lokasi yang mempunyai kamera dan plaza tol bagi mengelak dikesan.

Jelasnya lagi, walaupun masalah tersebut pernah dipanjangkan ke Majlis Keselamatan Jalan Raya, namun tiada sebarang tindakan diambil untuk menyelesaikannya kerana tiada bukti dan laporan daripada mangsa sendiri.

Pihak berkuasa juga katanya, tidak dapat mendakwa 'longkai' ini kerana tiada undang-undang yang digubal khas untuk menghalang kegiatan mereka.

"Apa yang boleh dibuat ialah keseda- ran sivik pengguna sendiri untuk terus berhati-hati dan mengkaji setiap permasalahan yang berlaku di samping tidak terpedaya dengan janji-janji manis 'longkai','' jelasnya


Blogger Halim said: Guys, becarefull !! Especially when you withdrawn your money from the bank with big amount. they might used this tactic to rob you !!

Selamat Aman Makmur

No comments: