Kerenah sijil mati
Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudinrudy@hmetro.com.my
JOHOR BAHRU: Seorang bapa terkilan kerana bukan saja terpaksa membayar denda RM10 kerana lewat mendaftar kematian anaknya, malah sijil kematian yang dinantikan itu gagal diperoleh berikutan kerenah birokrasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Mohd Supan Abdullah, 63, mendakwa masalah itu timbul apabila dia lewat mendaftar kematian anaknya, Nazarudeen, 32, yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 32, Jalan Muar-Segamat pada 28 Mei lalu.
Katanya, kelewatan membuat pendaftaran kematian itu tidak disengajakan berikutan keluarganya dalam keadaan kelam-kabut untuk menguruskan jenazah ke Subang, Selangor dan mendapatkan rawatan menantu dan cucunya yang cedera parah.
“Menantu dan cucu saya yang berusia empat tahun parah akibat kemalangan jalan raya itu. Oleh itu kami dalam keadaan kelam-kabut untuk menguruskan jenazah anak saya dan dalam masa yang sama menghantar menantu dan cucu untuk rawatan.
“Saya hanya membuat pendaftaran kematian di pejabat JPN Johor pada 2 Jun lalu. Ketika urusan dijalankan saya diberitahu kakitangan JPN bahawa kes ini kini dirujuk sebagai kelewatan mendaftar kematian dan dikenakan denda RM10,” katanya, semalam.
“Masalahnya, saya memerlukan sijil kematian anak saya itu dengan segera untuk urusan tuntutan insurans dan hal berkaitan keluarga yang lain kerana saya terpaksa pulang bertugas di Pattaya, Thailand dengan segera,” katanya.
Namun, sijil kematian itu dikatakan hanya boleh dikeluarkan dengan cepat sekiranya mendapat tanda tangan daripada pengarah.
“Beberapa kali saya membuat susulan berhubung perkara ini dan yang terbaru semalam, tetapi sijil itu belum ditandatangani kerana pengarah tiada di pejabat kerana menghadiri urusan di Putrajaya,” katanya.
Sementara itu, jurucakap JPN Johor ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menerima rayuan daripada Mohd Supan supaya menyegerakan pengeluaran sijil kematian anaknya.
“Perkara itu sudah diambil tindakan dan kini hanya menunggu tanda tangan pengarah JPN negeri, malangnya beliau kini mempunyai urusan di Putrajaya dan hanya akan kembali ke Johor Bahru minggu depan,” katanya
**********************************************************
Kenapa harus menghukum waris simati akibat lewat daftar ?
Kenapa sehingga begitu susah sekali procedure jika lewat daftar ?
Tidak cukupkah report polis yang dilakukan oleh waris ?
Atau, JPN sengaja menutup mata membiarkan procedure "lewat" untuk menghukum ?
Saya serahkan pada anda dan mereka yang terlibat dalam polisi tersebut untuk memikirkannya.
Harapan saya, buat lah yang terbaik untuk rakyat ...
No comments:
Post a Comment