----- Kg Hiliran Jejawi, Kuala Terengganu. Rumah tradisi Terengganu. -----
Friday, February 27, 2009
Kembara Amal Jelajah Malaysia ( Tabung Dakap)
Kembara Amal bermula
Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
pengarang@utusan.com.my
PESERTA Kembara Amal Jelajah Malaysia membuat kutipan derma bagi mengisi tabung Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap) di Terminal One Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
KUALA LUMPUR 26 Feb. - Para peserta program Kembara Amal Jelajah Malaysia Selamatkan Gaza memulakan penjelajahan mereka ke seluruh Semenanjung hari ini dengan 40 buah motosikal berkuasa tinggi.
Pengurus Negara Islamic Relief Malaysia (IRM), Zawahir Abdullah berkata, program lima hari anjuran Utusan Malaysia dan IRM itu bertujuan mengutip sumbangan untuk tabung Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap).
Katanya, sepanjang program berkenaan, peserta akan berhenti di 17 lokasi tumpuan ramai dan mengisi sumbangan yang diterima ke dalam 10 tabung yang dibawa bersama.
"Lebih menarik, seramai 100 individu yang menaiki motosikal berkuasa tinggi akan menanti di negeri lain dan menyertai program ini ketika peserta berhenti di lokasi terbabit.
"Kami menyasarkan kutipan RM100,000 sepanjang program ini," katanya pada majlis pelepasan peserta kembara tersebut di Kompleks Sri Utusan, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin pada pukul 9.15 pagi.
Zawahir berkata, peserta akan berhenti di Terminal One Seremban, Universiti Multimedia (MMU) Melaka, Wetex Parade (The Store) Muar, Plaza Angsana Johor Bahru dan Danga Bay Johor Bahru.
''Destinasi lain ialah bandar Mersing (hadapan Maybank), Masjid At-Taqwa Pekan, Kuantan Parade Kuantan, pekarangan TNB Kemaman, Pasaraya Mydin Kuala Terengganu dan KB Mall Kota Bharu.
"Selain itu Kayangan Square Kangar, Alor Setar Mall, Giant Sungai Petani, Genuine Bike Centre Seberang Perai, RKM Juru dan Greentown Mall Ipoh," katanya.
Sebarang maklumat lanjut termasuk waktu dan hari peserta akan mengunjungi setiap destinasi boleh didapati dengan menghubungi Rosnita di talian 04-7321812.
Labels:
Bikes
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment